15 January 2017

Zimmermädchen: Menjadi Tukang Cuci di Jerman

Assalamu'alaikum wbt.

Selama beberapa minggu pada Disember lepas, saya telah bekerja sebagai Zimmermädchen (direct translation: budak perempuan bilik) ataupun cleaner di sebuah hotel bajet di bandar saya menetap.

Pertama kali datang ke hotel untuk 'latihan kerja' saya diajar mengemas bilik-bilik. Tak banyak pun yang perlu dibuat. Load troli dengan keperluan, salin cadar tilam, sarung selimut dan bantal. Selepas tu lap semua permukaan yang mungkin disentuh, cuci bilik mandi, tandas dan akhirnya mop lantai bilik. Akhir sekali setelah selesai satu floor (maximum 14 bilik), perlu pula vakum korridor. Bayarannya, 2.5 euro per bilik.

Kalau sudah pro macam makcik-makcik mentor, boleh siap 6 bilik sejam. Tapi untuk beginner macam saya, maximum 4 bilik saja yang mampu dibuat dalam masa sejam. Itu belum kira masa pening-pening salah saiz cadar, cari pencuci cermin tak jumpa dan masa menjadi penunggu di hujung floor apabila penginap check-out lewat.

Asasnya tak susah. Tak ada orang tengking suruh cepat bekerja. Kata sorang makcik ni, ini kerja-kerja biasa macam mengemas rumah sendiri. Cuma, perlu tenaga lebih sebab kita buat berbayar.

Pernah satu hari, 6-7 dari 10 bilik yang saya dapat, letak tanda gantung 'jangan ganggu' di pintu. Maksudnya, housekeeping tak boleh ketuk sampai jam 12, waktu rasmi untuk check-out. Dah siap jam 12, ada satu bilik yang buka, lepas mak cik yang sama kerja dengan saya di floor tersebut tolong ketukkan. Penginap siap keluarkan cadar dan selimutnya sekali dari bilik. Katanya lagi 30 minit dia datang balik.

Bilik hancing, puntung rokok mampat dalam gelas-gelas. Cadar berabu rokok dan mangkuk toilet perlu flush berkali-kali untuk hilangkan puntung rokok yang penuh. Cukup-cukup 30 minit untuk bersihkan biliknya. Berbaki lagi 5-6 bilik untuk  dikemas.

Biasanya cleaners akan pulang ke rumah sekitar 12 lebih. Tapi memandangkan kebanyakan bilik yang perlu saya kemas mula kosong jam 12, lamalah saya di situ hingga lebih daripada 2 petang. Cheffin (Baca: bos) pun berulang-ulang kali datang memantau.

Apa yang saya belajar dari pekerjaan kali ni?

Kerendahan diri.

Selama dapat biasiswa, boleh jadi kita (pelajar Malaysia) adalah antara pelajar terkaya di universiti kita. Musim cuti boleh melancong, belanja makan mampu mewah dan pakaian boleh silih berganti. Kita dihantar/dibayar untuk belajar tanpa perlu fikir banyak masalah. Hati mudah nak hakimi kemampuan orang.

Untuk orang yang dah habis belajar dan bekerja, saya agak ini juga perasaannya berusaha bekerja untuk belanja asas diri. Nobody makes money out of thin air. Kecuali student kot.

Diri rasa lebih bertanggungjawab. Hari-hari cuti tandas, diri rasa rendah. Bila pandang orang di luar, terfikir apalah pula usaha orang-orang ini untuk sara diri dan keluarga. Macam makcik-makcik yang sama kerja dengan saya, masa masuk kerja gaya dan pakaian mereka buat kita tak sangka dia adalah rakan sekerja. Respect untuk orang-orang yang bekerja!

I guess labor day wouldn't be the same for me after this.

Kebersihan.

Kata makcik-makcik, sebagaimana keadaan bilik penginap, begitulah rumah mereka. Pernah bila menginap di hotel, ada perasaan nak semakkan je sebebasnya, sebab kita bayar perkhidmatan pekerjanya. Tapi baguskan bila kita memudahkan urusan orang lain? Apa salahnya kita jadi pembersih di rumah, dan juga di luar.

Kenapa kerja cuma beberapa minggu? Haha. Sebab bilik yang satu itu ke?

Hotel budget tersebut hanya hire Zimmermädchen secara part-time. Selain dari bayaran mengikut jumlah bilik yang dibersihkan, mereka juga hanya panggil kita pada hari-hari tertentu sahaja. Bergantung kepada bilangan bilik yang perlu dicuci dan preference mereka terhadap pekerja (makcik la kata, bukan saya..). Sejak hari tersebut, saya dah tak dapat call untuk datang kerja. Saya kira, berakhirlah sudah karier saya di situ.

Moga catatan pengalaman ini bermanfaat kepada sesiapa yang membaca. Selamat meneruskan kehidupan!


Liebe Grüße,
Khadijah