Kebiasaannya pada bulan Januari hingga Mac, akan tiba pelajar-pelajar pelbagai tajaan dari Malaysia ke bumi Jerman untuk mempelajari bahasa Jerman di institut bahasa. Berikut barangan yang saya rasakan penting untuk dibawa dan beberapa tips berdasarkan pengalaman sendiri.
Dokumen:
Antara dokumen wajib dibawa bersama adalah:
- Passport
- Sijil latihan praktikal (Vorpraktikum)
- Buku-buku semasa kursus bahasa Jerman di Malaysia (tak perlu bawa kamus sebab boleh download sebagai apps sahaja)
- Buku dan nota subjek-subjek A-Level seperti Maths, Mechanics, Physics dan Chemistry
- Buku-buku agama (al-Quran, panduan fiqh luar negara dan sebagainya)
- Lesen memandu
Gadjet:
Memadai handphone yang sedia ada. Pada pandangan saya, lebih baik membeli laptop di sini berbanding di Malaysia, supaya tidak rumit untuk menyesuaikan diri dengan format keyboard Jerman nanti. Hal ini bertambah penting jika kursus yang diambil akan diajar dalam bahasa Jerman. 3-6 bulan di pusat persediaan bahasa, pelajar tidak berapa memerlukan laptop untuk tujuan pembelajaran. Jadi masih sempat untuk survey laptop yang sesuai dengan keperluan.
Pakaian:
Boleh jadi perkara paling difikirkan semasa berkemas adalah pakaian. Dengan kosong pengalaman dan idea tentang cuaca berempat musim, kita akan lebih cenderung untuk membeli baju-baju sejuk dan aksesorinya di Malaysia. Jujurnya, sebaik sahaja pelajar tiba di lapangan terbang, pelajar akan terus berkejar untuk menaiki bas yang disediakan oleh penaja untuk ke pusat bahasa masing-masing. Tak sempat berlama-lama dalam cuaca sejuk. Sebaiknya, bawa:
- Sweater/sweatshirt/pullover untuk dipakai dalam kapal terbang
- Stokin
- Baju formal / raya
- Pakaian sesuai untuk solat
Pakaian musim sejuk dan aksesori seperti sarung tangan, shawl, sebenarnya jauh lebih murah, lebih banyak pilihan dan ‘up-to-date’ di sini, berbanding di Malaysia. Untuk pelajar yang tiba pada bulan Januari yang cuaca masih sejuk, kenakan pakaian beberapa lapis (layering) sementara membeli pakaian musim sejuk yang sesuai.
Makanan:
Tips terbaik saya boleh bagi, luangkan ruang yang besar daripada bagasi anda untuk makanan yang sukar didapati di sini, dan makanan yang mudah disediakan dengan peralatan yang terhad untuk seminggu pertama. Sebabnya, apabila pelajar baru tiba di pusat bahasa, pelajar akan sibuk menguruskan hal bank, insuran, kelas dan sedikit demi sedikit mengenali persekitarannya. Contohnya, di mana nak beli ayam halal, beras, barangan asia dan makanan-makanan asing yang boleh dimakan. Barang makanan untuk dibawa adalah:
- Lauk ‘instant’ Brahim’s, ayam brand, serunding
- Rempah asas seperti bunga lawang, kulit kayu manis, bunga cengkih, jintan dll. Walaupun anda tak pernah memasak di Malaysia dulu.
- Rempah masakan asas seperti kari, kurma ...
- Cili kering
- Ikan bilis
- Santan serbuk
- Biskut²
- Beras 1 kg
Barang-barang lain yang penting adalah alat tulis, kerana alat tulis yang berkualiti jauh lebih murah di Malaysia. Toiletries pula lebih murah di sini, jadi bawalah kuantiti yang sedikit sahaja, untuk memberi ruang kepada benda lain yang lebih diperlukan. Pastikan juga luggage anda berkualiti, tahan untuk beberapa tahun kehadapan. Ruginya membeli luggage murah, tapi perlu diganti setiap kali mahu pulang ke Malaysia.