12 March 2018

Barang untuk dibawa ke Jerman (pertama kali)

Kebiasaannya pada bulan Januari hingga Mac, akan tiba pelajar-pelajar pelbagai tajaan dari Malaysia ke bumi Jerman untuk mempelajari bahasa Jerman di institut bahasa. Berikut barangan yang saya rasakan penting untuk dibawa dan beberapa tips berdasarkan pengalaman sendiri.

Dokumen:
Antara dokumen wajib dibawa bersama adalah:
  1. Passport
  2. Sijil latihan praktikal (Vorpraktikum)
  3. Buku-buku semasa kursus bahasa Jerman di Malaysia (tak perlu bawa kamus sebab boleh download sebagai apps sahaja)
  4. Buku dan nota subjek-subjek A-Level seperti Maths, Mechanics, Physics dan Chemistry
  5. Buku-buku agama (al-Quran, panduan fiqh luar negara dan sebagainya)
  6. Lesen memandu
Gadjet:
Memadai handphone yang sedia ada. Pada pandangan saya, lebih baik membeli laptop di sini berbanding di Malaysia, supaya tidak rumit untuk menyesuaikan diri dengan format keyboard Jerman nanti. Hal ini bertambah penting jika kursus yang diambil akan diajar dalam bahasa Jerman. 3-6 bulan di pusat persediaan bahasa, pelajar tidak berapa memerlukan laptop untuk tujuan pembelajaran. Jadi masih sempat untuk survey laptop yang sesuai dengan keperluan.

Pakaian:
Boleh jadi perkara paling difikirkan semasa berkemas adalah pakaian. Dengan kosong pengalaman dan idea tentang cuaca berempat musim, kita akan lebih cenderung untuk membeli baju-baju sejuk dan aksesorinya di Malaysia. Jujurnya, sebaik sahaja pelajar tiba di lapangan terbang, pelajar akan terus berkejar untuk menaiki bas yang disediakan oleh penaja untuk ke pusat bahasa masing-masing. Tak sempat berlama-lama dalam cuaca sejuk. Sebaiknya, bawa:
  1. Sweater/sweatshirt/pullover untuk dipakai dalam kapal terbang
  2. Stokin
  3. Baju formal / raya
  4. Pakaian sesuai untuk solat
Pakaian musim sejuk dan aksesori seperti sarung tangan, shawl, sebenarnya jauh lebih murah, lebih banyak pilihan dan ‘up-to-date’ di sini, berbanding di Malaysia. Untuk pelajar yang tiba pada bulan Januari yang cuaca masih sejuk, kenakan pakaian beberapa lapis (layering) sementara membeli pakaian musim sejuk yang sesuai.

Makanan:
Tips terbaik saya boleh bagi, luangkan ruang yang besar daripada bagasi anda untuk makanan yang sukar didapati di sini, dan makanan yang mudah disediakan dengan peralatan yang terhad untuk seminggu pertama. Sebabnya, apabila pelajar baru tiba di pusat bahasa, pelajar akan sibuk menguruskan hal bank, insuran, kelas dan sedikit demi sedikit mengenali persekitarannya. Contohnya, di mana nak beli ayam halal, beras, barangan asia dan makanan-makanan asing yang boleh dimakan. Barang makanan untuk dibawa adalah:
  1. Lauk ‘instant’ Brahim’s, ayam brand, serunding
  2. Rempah asas seperti bunga lawang, kulit kayu manis, bunga cengkih, jintan dll. Walaupun anda tak pernah memasak di Malaysia dulu.
  3. Rempah masakan asas seperti kari, kurma ...
  4. Cili kering
  5. Ikan bilis 
  6. Santan serbuk
  7. Biskut²
  8. Beras 1 kg

Barang-barang lain yang penting adalah alat tulis, kerana alat tulis yang berkualiti jauh lebih murah di Malaysia. Toiletries pula lebih murah di sini, jadi bawalah kuantiti yang sedikit sahaja, untuk memberi ruang kepada benda lain yang lebih diperlukan. Pastikan juga luggage anda berkualiti, tahan untuk beberapa tahun kehadapan. Ruginya membeli luggage murah, tapi perlu diganti setiap kali mahu pulang ke Malaysia.

15 January 2017

Zimmermädchen: Menjadi Tukang Cuci di Jerman

Assalamu'alaikum wbt.

Selama beberapa minggu pada Disember lepas, saya telah bekerja sebagai Zimmermädchen (direct translation: budak perempuan bilik) ataupun cleaner di sebuah hotel bajet di bandar saya menetap.

Pertama kali datang ke hotel untuk 'latihan kerja' saya diajar mengemas bilik-bilik. Tak banyak pun yang perlu dibuat. Load troli dengan keperluan, salin cadar tilam, sarung selimut dan bantal. Selepas tu lap semua permukaan yang mungkin disentuh, cuci bilik mandi, tandas dan akhirnya mop lantai bilik. Akhir sekali setelah selesai satu floor (maximum 14 bilik), perlu pula vakum korridor. Bayarannya, 2.5 euro per bilik.

Kalau sudah pro macam makcik-makcik mentor, boleh siap 6 bilik sejam. Tapi untuk beginner macam saya, maximum 4 bilik saja yang mampu dibuat dalam masa sejam. Itu belum kira masa pening-pening salah saiz cadar, cari pencuci cermin tak jumpa dan masa menjadi penunggu di hujung floor apabila penginap check-out lewat.

Asasnya tak susah. Tak ada orang tengking suruh cepat bekerja. Kata sorang makcik ni, ini kerja-kerja biasa macam mengemas rumah sendiri. Cuma, perlu tenaga lebih sebab kita buat berbayar.

Pernah satu hari, 6-7 dari 10 bilik yang saya dapat, letak tanda gantung 'jangan ganggu' di pintu. Maksudnya, housekeeping tak boleh ketuk sampai jam 12, waktu rasmi untuk check-out. Dah siap jam 12, ada satu bilik yang buka, lepas mak cik yang sama kerja dengan saya di floor tersebut tolong ketukkan. Penginap siap keluarkan cadar dan selimutnya sekali dari bilik. Katanya lagi 30 minit dia datang balik.

Bilik hancing, puntung rokok mampat dalam gelas-gelas. Cadar berabu rokok dan mangkuk toilet perlu flush berkali-kali untuk hilangkan puntung rokok yang penuh. Cukup-cukup 30 minit untuk bersihkan biliknya. Berbaki lagi 5-6 bilik untuk  dikemas.

Biasanya cleaners akan pulang ke rumah sekitar 12 lebih. Tapi memandangkan kebanyakan bilik yang perlu saya kemas mula kosong jam 12, lamalah saya di situ hingga lebih daripada 2 petang. Cheffin (Baca: bos) pun berulang-ulang kali datang memantau.

Apa yang saya belajar dari pekerjaan kali ni?

Kerendahan diri.

Selama dapat biasiswa, boleh jadi kita (pelajar Malaysia) adalah antara pelajar terkaya di universiti kita. Musim cuti boleh melancong, belanja makan mampu mewah dan pakaian boleh silih berganti. Kita dihantar/dibayar untuk belajar tanpa perlu fikir banyak masalah. Hati mudah nak hakimi kemampuan orang.

Untuk orang yang dah habis belajar dan bekerja, saya agak ini juga perasaannya berusaha bekerja untuk belanja asas diri. Nobody makes money out of thin air. Kecuali student kot.

Diri rasa lebih bertanggungjawab. Hari-hari cuti tandas, diri rasa rendah. Bila pandang orang di luar, terfikir apalah pula usaha orang-orang ini untuk sara diri dan keluarga. Macam makcik-makcik yang sama kerja dengan saya, masa masuk kerja gaya dan pakaian mereka buat kita tak sangka dia adalah rakan sekerja. Respect untuk orang-orang yang bekerja!

I guess labor day wouldn't be the same for me after this.

Kebersihan.

Kata makcik-makcik, sebagaimana keadaan bilik penginap, begitulah rumah mereka. Pernah bila menginap di hotel, ada perasaan nak semakkan je sebebasnya, sebab kita bayar perkhidmatan pekerjanya. Tapi baguskan bila kita memudahkan urusan orang lain? Apa salahnya kita jadi pembersih di rumah, dan juga di luar.

Kenapa kerja cuma beberapa minggu? Haha. Sebab bilik yang satu itu ke?

Hotel budget tersebut hanya hire Zimmermädchen secara part-time. Selain dari bayaran mengikut jumlah bilik yang dibersihkan, mereka juga hanya panggil kita pada hari-hari tertentu sahaja. Bergantung kepada bilangan bilik yang perlu dicuci dan preference mereka terhadap pekerja (makcik la kata, bukan saya..). Sejak hari tersebut, saya dah tak dapat call untuk datang kerja. Saya kira, berakhirlah sudah karier saya di situ.

Moga catatan pengalaman ini bermanfaat kepada sesiapa yang membaca. Selamat meneruskan kehidupan!


Liebe Grüße,
Khadijah


08 November 2016

Sambung belajar di Jerman: Penginapan pelajar

Assalamu'alaikum wbt.

Belakangan ni, terkenal juga isu pendidikan percuma peringkat tinggi di Jerman di Malaysia. Jadi ramai yang berminat untuk sambung belajar di sini. Setelah dah lulus urusan aplikasi dan visa, akhirnya ramai yang dah tiba di Jerman bersedia untuk memulakan fasa hidup baru.

Saya nak kongsi sedikit tentang penginapan untuk permulaan study di sini.

1. Studentenwohnheim (Asrama pelajar)
Seperti di Malaysia, universiti di sini juga menyediakan asrama untuk para pelajar. Cuma konsepnya sedikit berbeza. Di Jerman, asrama pelajar diuruskan Studentenwerk (Student union / service) bandar tersebut. Contohnya di sebuah bandar bernama Augsburg ada sebuah universiti (Universität), sebuah universiti sains aplikasi (Fachhochschule) dan sebuah kolej musik (Musikschule).  Semua penginapan asrama pelajar dari institusi-institusi ini akan dikendalikan oleh Studentenwerk Augsburg.

Kawasan-kawasan asrama ini selalunya tidak terletak di kampus universiti, tapi bertaburan di seluruh bandar. Spesifikasi asrama seperti jenis bilik (single apartment, shared unit) dan harga berbeza-beza. Yang pastinya lebih murah daripada menyewa di luar.

Untuk dapat tinggal di asrama, para pelajar perlu membuat permohonan melalui website Studentenwerk tersebut dan hampir semuanya kini mempunyai opsyen bahasa inggeris. Jadi orang malaysia yang ingin menyambung pelajaran di sana boleh membuat urusan tempat tinggal secara online dari malaysia lagi. Jika tidak pasti bagaimana untuk menghubungi Studentenwerk, tanyakan pada pihak yang anda berurusan sewaktu memohon untuk mendaftar sebagai pelajar sebelum itu.

Salah satu asrama single apartment yang pernah saya duduki
2. Privatwohnung (Private house)
Asrama pelajar yang disediakan tidak mampu menampung semua pelajar. Para pelajar yang tidak tinggal di asrama akan memulakan proses mencari rumah sewa secara online di website carian rumah sewa. Antara yang paling terkenal adalah WG-Gesucht. Hanya perlu masukkan nama bandar dan spesifikasi seperti harga dan keadaan rumah.

Proses memilih penyewa tidak berlangsung secara "first come, first served". Tuan rumah akan memberikan tarikh untuk kita melawat rumah terlebih dahulu. Selain daripada kita dapat melihat sendiri keadaan rumah tersebut, tuan rumah itu juga akan menilai kesesuaian kita sebagai penyewa rumahnya. Menjadi adat kebiasaan seorang pelajar akan melalui hingga 10 lawatan sehingga mendapat rumah yang sesuai.

Ruang tamu Privatwohnung yang diduduki sekarang
3. Wohngemeinschaft /WG (Flat-sharing community)
Di website seperti Wg-Gesucht juga mempunyai option untuk menyewa bilik dalam sesebuah rumah yang disewa bersama dengan pelajar-pelajar lain. Prosesnya sama seperti rumah sewa, cuma kita akan dinilai dan dipilih oleh komuniti flat tersebut. Ada flat yang hanya mahukan perempuan atau lelaki sebagai ahlinya, ada juga yang mahu mempunyai minat yang sama.

Untuk penginapan 2. dan 3., pelajar harus berhati-hati dengan 'scam' seperti tuan rumah tak dapat adakan lawatan sebab berada di luar negara dan akan pos kunci rumah selepas pembayaran dibuat dan sebagainya.

Saya pernah tinggal di WG bersama pelajar-pelajar perempuan Malaysia tetapi tak ada gambar yang sesuai untuk dikongsikan.

Saya berharap info ini dapat membantu serba sedikit buat sesiapa yang akan menyambung pelajaran di sini. Yang pastinya, suasana dan cabaran akan berbeza seperti di tanah air. Sentiasalah bersifat terbuka dengan perbezaan di sini dan sentiasa positif!




Liebe Grüße,
Khadijah

15 August 2016

Refleksi Mingguan: Bekerja di Jerman

Assalamu'alaikum wbt.

Selama ni selalu dengar pengalaman dari pelajar-pelajar di Jerman yang bekerja sewaktu musim panas untuk kumpul duit tambahan, di samping biasiswa yang sudah lebih daripada belanja keperluan asas. Ada juga yang bekerja untuk persediaan bina masjid ^-^. Kerja yang biasa adalah bekerja di kilang sama ada Lebensmitteln (makanan) ataupun elektronik, ataupun di gudang logistik seperti Amazon.

Sebelum ni pernah saja teringin nak bekerja, tapi tak pernah senekad sekarang, sebab sentiasa rasa masih cukup biasiswa yang masuk setiap bulan. Sekarang dalam fasa akhir pelajaran, tanpa penerimaan biasiswa, keperluan untuk bekerja jadi keutamaan untuk top up simpanan dan belanja bulanan. Setelah beberapa minggu mencari kerja, akhirnya dapat juga melalui satu agent pekerjaan. Katanya bekerja di bahagian Verpackung (pembungkusan) di sebuah kilang Lebkuchen (gingerbread), snek kegemaran nombor dua saya selepas Spekulatius (spiced cookie).

Hari pertama bekerja, keluar rumah pukul 6. Masuk kerja 6:45 pagi. Balik kerja, kaputt (letih tergolek)! 5 jam berdiri kotakkan Lebkuchen di belt conveyor, rehat 15 minit pukul 9 pagi. Lepas rehat tengahhari cuci mesin sampai waktu balik.

Di kilang tersebut, kebanyakan yang bekerja ialah orang asing. Bahasa jerman mereka pula broken. Tapi sebab mereka adalah majoriti dalam kilang tersebut, 'bahasa rasmi' adalah bahasa mereka. Walaupun status saya sebagai pelajar kejuruteraan dari universiti, di kilang ini sayalah yang paling tidak tahu. Paling tidak tahu cara bekerja, sebab cara belajar di situ adalah lihat, buat kesalahan dan belajar. Tiada yang akan kursuskan kita teknik-teknik macam dalam kelas. Saya juga yang paling kuli, paling boleh diarah apa-apa.

Mandur-mandur juga kebanyakannya orang asing. Arahannya kasar, tugasnya memberi kerja. Bila produksi dah selesai, apa sahaja dijadikan kerja, asalkan pekerja tak peroleh 'gaji goyang kaki'. Sental apa-apa saja, paip-paip, rak-rak, lantai..

Dalam 4 hari bekerja ini, terlalu banyak yang saya belajar. Pengurusan masa, pengurusan rumah tangga dan yang terbesar, menyental ego dan lebih bersangka baik dengan orang lain.

Dengan keluarnya saya 30 minit lebih awal dari Encik Suami ke kerja, saya perlu susun kemas jadual memasak, persediaan bekal-bekal kami, baju-baju dan sebagainya. Mungkin seminggu lagi akan lebih baik keadaannya. Saya terbayang bagaimanalah pula ibu-ibu yang membantu suami bekerja setiap hari, dan menguruskan rumah dan anak-anak. Mak saya tidak bekerja semasa membesarkan kami, tapi sudah sangat keletihan di hujung hari. Apatah lagi ibu-ibu yang bekerja.

Saya belajar di tempat kerja, bahawa pembelajaran di uni dan penglibatan dalam aktiviti pelajar tak cukup untuk bekalkan saya hadapi dunia luar. Selama ini kebanyakan yang saya temui ialah golongan akademik. Dalam bas ulang alik ke uni dan jiran-jiran di hostel pelajar. Bahasanya, topik perbualannya hampir sama. Tapi realitinya, manusia ada pelbagai jenis. Pelbagai latar belakang dan adab pertuturan.

Supaya kerja-kerja berjalan lancar, saya perlu memahami cara kerja mereka. Bukanlah meminta mereka memahami saya. Jika saya ingin menyampaikan sesuatu, saya perlu sampaikan dengan cara yang boleh mereka fahami.

Saya faham saya dibayar untuk menjadi kuli, jadi saya perlu menjadi kuli di tempat kerja tersebut, pada waktu bekerja. Saya terfikir, di sisi manusia, status paling rendah ialah hamba, 24 jam menjadi kuli yang patuh. Tetapi di sisi Allah, hamba adalah status manusia yang tertinggi, paling taat, paling dekat dengan-Nya. Allah gelarkan mereka, Ibadurrahman.

Akhir kata, jadilah pekerja yang jujur, dan jadilah hamba yang benar. =)

Jom pergi kerja!


Liebe Grüße,
Khadijah

14 August 2016

Cabaran 5 Hari: Gratitude Journal

Assalamu'alaikum wbt.

Patutnya naikkan entri semalam, tapi terlalu teruja dengan hujung minggu lepas minggu pertama kerja, tak ada apa pun yang terkarang. -_-"

Pada hari Isnin yang lalu, saya putuskan untuk mulakan dengan tema kesyukuran sebab tagline utama saya, "Syukur itu kata kerja". Kenapa syukur tu kata kerja? Ha.. Dulu-dulu (dan sekarang juga) selalu rasa sangat bertuah ada mak ayah yang menjaga agama anak-anak, tak pernah berkira untuk hal-hal pendidikan, mak yang sangat caring, adik-beradik tak ada gaduh-gaduh.. Bila dah berkahwin pula dapat suami yang bukan saja sebijik yang diimpikan, malah lebih baik. Penyabar yang teramat, ibu ayah mertua yang baik, keluarga tak ada dengki-dengki macam dalam drama melayu. Pernah saya bagitahu kawan, apalah amal saya sampai saya diberi nikmat-nikmat macam ni.

Kawan saya balas, sebenarnya Allah tak kurniakan kita nikmat-nikmat ni sebagai balasan amalan kita. Sebabnya, Allah dah janji akan balas semua tu di akhirat nanti. Jadi kenapa Allah bagi semua ni?

Kalau dalam Spiderman, tagline dia great power comes with great responsibilities. Dalam Surah Quraisy pula, Allah sebutkan nikmat-nikmat yang Allah kurniakan khusus untuk bani Quraisy di Makkah, iaitu sentiasa selamat bila dalam perjalanan untuk berniaga dan tak pernah diorang kelaparan walaupun tak ada pertanian di Makkah yang kering tanahnya. Kemudian Allah minta diorang untuk menghambakan diri kepada Tuhan pemilik Ka'abah. Jadi syukur itu kata kerja maksudnya untuk menjadi orang yang bersyukur, kita kena manfaatkan nikmat-nikmat yang Allah amanahkan kepada kita, untuk menjadi hamba yang sentiasa bermanfaat, untuk diri sendiri, dan orang lain. Sentiasa ada output, sentiasa memberi. Syukur itu tak terhad kepada mengulang lafaz Alhamdulillah sahaja.

Okay, balik kepada topik asal. Saya tetapkan untuk menulis ala-ala gratitude journal. Saya pilih sehari satu tema dan saya senaraikan :

  1. apa yang saya suka tentang perkara tersebut
  2. apa yang saya boleh buat untuk menghargai nikmat tersebut.
Salah satu tema dalam minggu ini adalah rumah saya.
  1. Perkara yang saya suka tentang rumah saya:
    • Encik Suami tinggal sekali (untuk yang PJJ, I feel you sisturs!)
    • walaupun kecil (13 meter quadrat), semuanya bersaiz selesa
    • tak ada bucu-bucu yang buat tersadung 
    • lantai parquet, jadi senang nampak benda-benda yang boleh vacuum
    • Pemandangan dari tingkap menghijau, sejuk je mata memandang
    • tak perlu tirai sebab menghadap pokok-pokok
    • berhampiran dengan masjid Turki, kedai yang ada ayam halal dan stesen kereta api
    • ruang yang ada muat dan selesa untuk solat jemaah berdua
    • senang nak dibersihkan (sebab kecil dan tak banyak perabut)
  2. Perkara yang boleh saya buat untuk mensyukuri nikmat rumah ni:
    • Sentiasa pastikan rumah seboleh mungkin kemas dan bersih sepaya selesa beribadah dan Allah pun sukakan yang cantih dan bersih
    • Tidak membazir dalam perbelanjaan dengan membeli barangan yang tak diperlukan 
"Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram." 
Mural di dinding ruang solat wanita di masjid berdekatan rumah. 


Apa yang saya dapat dalam 5 hari ini?

Saya pilih tema berdasarkan perkara yang saya terdetik untuk merungut. Lepas tu saya fikirkan apa kebaikan yang sebenarnya lebih banyak daripada kekurangan perkara tersebut. Dalam 5 hari ni, saya rasa lebih tenang dan kurang merungut. Setiap kali nak mengomel, rasa tak berbaloi pula. Bahagian yang paling susah tu adalah yang untuk duduk dan menulis, sebab kalau tak menulis waktu sarapan sebelum ke kerja, memang susah dah nak karang balik kemudian. Sibuk nak masak la, nak recap cerita dari jalan pergi kerja sampai turun bas balik dekat Encik Suami la... 

Kesimpulannya, ia adalah salah satu latihan yang baik untuk jadikan kita lebih conscious dengan nikmat yang kita dapat.  Bolehlah nak dicuba dan disesuaikan dengan keselesaan masing-masing.

Rumah-rumah di Fischerviertel, Ulm.  Beberapa minit berjalan kaki dari rumah saya.
Tak dapat tinggal dalam rumah macam ni, berjiran pun dah ok.

Liebe Grüße,
Khadijah

07 August 2016

Mengapa Saya Menulis

Assalamu'alaikum wbt.

Sebenarnya zaman dulu-dulu, sejak habis SPM saya sangat suka menulis blog. Tak ada lah sampai hari-hari, tapi lebih kerap daripada sekarang. Masa tu suka ambil gambar dan berkongsi cerita, apatah lagi sejak beli DSLR second-hand (mungkin third-hand juga). Tapi sejak hilang kamera kesayangan tu di Hamburg sebab balik ke tempat penginapan dalam keadaan sangat mengantuk, semangat menulis blog merudum sehinggalah baru-baru ni. Inche Suami dah lama bagi greenlight untuk gunakan kamera beliau, tapi segan-segan gitu dan rasa tak ada momentum untuk menulis.

Kebelakangan ni saya ada terbaca tentang baiknya merekod fikiran kita dalam proses pembaikan diri. Macam eksperimen, kalau kita tak rekod dari awal, kita tak dapat lihat perubahan (baik atau buruk) yang terhasil. Kenapa tak tulis private sahaja? Sebab mempunyai audien juga boleh boost proses perubahan kita. Akan ada ruang untuk menerima sokongan dan juga kritikan untuk pembaikan.

Perubahan yang konsisten (dan istiqamah) adalah yang berperingkat-peringkat. Saya percaya bahawa untuk mengubah sesuatu keadaan, kita memerlukan perubahan rutin, bukanlah dengan hanya meletakkan sasaran (goal). Sebagai contoh, jika saya ingin menjadi lebih sihat, saya perlukan rutin pemakanan yang lebih sihat atau rutin senaman, bukanlah sekadar meletakkan sasaran.

Dalam halaqah usrah yang saya bawa, saya pernah mengadakan slot Cabaran 5 Hari. Contohnya 5 Hari Bangun Awal, 5 Hari Tanpa Bertangguh (idea adik usrah saya), atau 5 Hari Tafsir Quran. Kiranya, sebelum memulakannya, atau pada hari pertama, kita perlu merancang bagaimana plan untuk 5 hari tersebut. Contohnya hari pertama tak bertangguh kerja-kerja dapur, hari kedua ditambah tak bertangguh untuk meletakkan kembali barangan di tempat asalnya (supaya bilik tak bersepah) dan selanjutnya. Dalam masa 5 hari ini juga, kita boleh memperbaiki plan jika dirasakan tak realistik dan pada hari terakhir kita simpulkan rutin yang terbaik untuk diteruskan, apa kesan pada diri dan apa-apa muhasabah yang diperolehi.

Jadi sebagai permulaan, saya menetapkan untuk diri saya menulis 2 kali seminggu di blog ini. Isnin untuk reflection saya tentang minggu sebelumnya atau apa-apa yang dirasakan menarik untuk dikongsikan dan Sabtu untuk proses dan hasil Cabaran 5 Hari saya.

Saya berharap tulisan saya bukan sahaja menguntungkan saya malah bermanfaat kepada anda juga. Kalau ada teguran atau cadangan janganlah segan-segan.


Landmark di tempat baru saya, Ulm Minster.



Liebe Grüße,
Khadijah


08 July 2016

Beraya di perantauan, bumi Jerman

Assalamu'alaikum wbt.

Seorang sahabat saya terpaksa mengambil keputusan last minute untuk terbang balik ke Jerman pada awal bulan puasa untuk menyelesaikan hal yang timbul walaupun telah officially pulang BFG (Back For Good) ke Malaysia tak sampai sebulan sebelum itu. Pengalaman beliau berpuasa dan berhari raya yang tidak dirancang dengan sebuah keluarga Rusia dicoret untuk dikongsikan dengan semua.

Setelah lima tahun tinggal di bumi Eropah, ini kali pertama aku berpuasa dan beraya bersama keluarga angkat di sini, Jerman. Selalunya bulan puasa dan hari raya disambut bersama-sama komuniti Malaysia di sini. Bagi aku ini merupakan pengalaman baru, walaupun berpuasa dan beraya di perantauan bukanlah perkara asing bagi pelajar-pelajar di luar negara.


Selama aku di sini, aku pernah tinggal dengan orang dari pelbagai negara seperti Kazakhstan, Kirgistan, Indonesia dan semestilah dengan orang Malaysia juga. :)
Tetapi selama ini aku tinggal bersama orang-orang yang sebaya atau setahun dua lebih tua dari aku. Takdir telah menemukan aku dengan seorang wanita dari Rusia yang umurnya sebaya emak aku. Aku bukanlah orang yang mudah memberikan nombor telefon kepada orang yang aku baru kenal, tetapi kami bertukar nombor walaupun baru pertama kali berjumpa. Inilah yang dikatakan TAKDIR!


Aku memerlukan tempat menginap selama dua bulan sebelum pulang ke Malaysia dan di sini susah untuk menumpang di tempat kawan-kawan. Sebabnya, semua kawan-kawan aku tinggal di hostel dan undang-undang hostel tidak membenarkan orang luar tumpang menginap lebih dari seminggu . Say NO to hidup nomad. Lantas aku mencuba nasib dengan menelefon wanita Rusia tersebut, bertanya sama ada beliau mempunyai bilik kosong untuk disewakan. Pertanyaan aku disambut dengan baik. Beliau dengan senang hati bersetuju untuk aku tinggal bersama.


Sewaktu aku pertama kali pergi melawat beliau, ditunjukkan segenap rumah beliau dan bakal bilik aku. Satu point penting yang aku tertinggal, mak cik Rusia tersebut juga Muslim. Hati aku tersentuh dengan kebaikan beliau, seorang yang aku tidak kenal rapat tetapi melayan aku seperti anak sendiri.


Geld brauche ich nicht.
(Saya tidak perlukan duit)


Ich freue mich, wenn du meine Tochter al-Quran unterrichten kannst.
(Saya berbesar hati jika kamu dapat ajarkan anak saya al-Quran.)


Jadi bermulalah detik aku tinggal di rumah beliau bersama anak tunggalnya. Puasa di Jerman pada tahun ni jatuh pada musim panas yang waktu Subuhnya pukul 3 pagi, Maghrib pukul 10 malam. Setiap hari aku dikejutkan oleh mak angkat aku untuk bersahur.
Aku dan keluarga kecil ini tinggal di apartment 4 tingkat. Terdapat 8 rumah di bangunan kami, rata-ratanya keluarga muslim. Ada yang dari Mesir, Rusia, Kazakhstan dan orang tempatan Jerman.


Jujurnya aku belum pernah berjumpa dengan keluarga islam yang ‘practicing’ di sini. Mungkin kerana kawan-kawan Islam aku di sini belum mendapat hidayah untuk mengamalkan cara hidup Islam, semoga Allah membimbing mereka kepadaNya. Orang arab kebanyakan memang mengamalkan cara hidup islam. Untuk aku, ini adalah keluarga muslim Rusia yang mengamalkan islam. Pengalaman aku menyertai iftar di sini, tiada bezanya dengan suasana apabila aku beriftar sesama muslim Malaysia. Apabila masuk waktu maghrib, kami berbuka dengan kurma dan air. Selepas itu bersolat Maghrib berjemaah. Jiran-jiran yang hadir, aku anggarkan dalam 30 orang. Lelaki di ruang tamu, perempuan pula di bilik berasingan.
Itu kali pertama aku berjumpa dengan orang-orang yang hadir dan semua orang melayan aku bagaikan keluarga.


Wir sind Schwestern! ( We are sisters!)


Ini bukan sesuatu yang asing bagi Muslim di sini. Apabila bertemu di jalan pasti akan menerima ucapan salam. Salah satu benda yang buat aku bangga menjadi seorang Muslim. Pernah aku ditanya oleh seorang kawan German.


Kennst du sie? (Do you know her?)


Ne, wir sind Schwestern! (No, we are sisters!).


Alle Muslime sind Familien! (All muslims are family)


As we know, Rusia is a European country. Ada sekali tu, mak angkat aku tanya. Makanan asasi Malaysia apa? Jadi aku jawablah nasi. Aku tanyalah pula apakah makanan ruji mereka? Sekali dijawabnya daging..Hahahaha. Terjawab sudah persoalan aku kenapa setiap hari di rumah dia akan masak daging.


Setelah sebulan Ramadhan, maka tibalah Syawal. Kalau di Malaysia, kanak-kanak akan pergi dari rumah ke rumah kutip duit raya. Di sini pula, yang tua akan berikan hadiah atau manisan kepada yang lebih muda. Aku pun tidak dilupakan, masih mendapat hadiah dari mak cik-mak cik yang aku ziarah bersama keluarga angkat aku. Selalunya kanak-kanak akan mendapat bermacam-macam jenis coklat. Ucapan yang disebut oleh kebanyakan mereka adalah Taqabbalallah minna wa minkum (Semoga Allah menerima amal/ibadah aku dan kalian). Ada juga yang mengucapkan Bayram Mubarak, dan ada juga Eid Mubarak bergantung kepada bahasa ibunda mereka. Maksudnya sama seperti bahasa Melayu, ‘selamat hari raya’.


Aku tak pasti samada semua keluarga muslim di sini begitu atau tidak. Sepanjang aku beraya, tidak ada lelaki di rumah tersebut, hanya wanita dan kanak-kanak. Kalau di Malaysia kita bebas ke rumah sesiapa sehaja dengan alasan pergi beraya, di sini perlu appointment. Jadi kita hanya akan pergi ke rumah apabila ada jemputan sahaja.


Suasana beraya di sini sama meriahnya dengan Malaysia. Kalau di Malaysia pada malam raya kita sibuk masak rendang, lemang, pasang langsir dan sebagainya, atleast family aku yang buat macam tu. Sini pun sama, cuma makanannya lain. Setiap rumah ada dua tiga jenis kek, semua dibuat sendiri. Siap dengan decoration lagi (icing). Kalau nak bercerita tentang makanan sampai ke sudah takkan habis. Kebanyakan menu adalah daging, tiada ayam langsung. Orang di sini makannya dimulakan dengan appetizer (selalunya sup), makanan utama dan seterusnya manisan. Dengan melihat kepada makanan sahaja dapat lihat effort mereka. Aku yang dikira sebagai big eater pun tewas dengan jumlah makanan. :)


Ok, setelah panjang aku bercerita, ini moral of the stories. Kita selalu dengar tentang ‘kita merancang, Allah juga merancang, tetapi perancangan Allah yang terbaik’. Aku ditakdirkan Allah bertemu dengan orang-orang yang sangat baik. Berada di sini, aku rasa seperti di rumah. Orang-orang tua yang sebaya mak dan ayah aku, tidak malu untuk bertanya tentang apa-apa yang mereka tidak tahu. They are willing to learn something from me, orang yang rumah pun tak ada, hidup menumpang. :)


Jujurnya dalam proses pencarian rumah yang aku cerita tadi, aku hanya mampu bertawakal kerana kontrak rumah aku tamat hujung bulan Jun. Worst case, terpaksa hidup nomad di rumah kawan-kawan. Bila fikir balik sekarang, walaupun aku tak dapat beraya dengan keluarga di Malaysia, aku rasa aku dapat sesuatu yang lebih baik. Pengalaman yang aku rasa aku takkan dapat di Malaysia.

Jadi kawan-kawan, apa-apa pun yang terjadi, ucaplah Alhamdulillah. Its okay to be sad, but we need to move on. Everything happen for a reason. And I’m glad for the decision I’ve made.



Berjamuan raya di roof top bangunan hostel. 5 Julai 2016 Augsburg, Bavaria, Jerman.

Buat semua, salam Aidilfitri dari perantauan! Moga amalan kita diterima dan berjodoh lagi dengan bulan istimewa, Ramadhan tahun hadapan.