15 August 2016

Refleksi Mingguan: Bekerja di Jerman

Assalamu'alaikum wbt.

Selama ni selalu dengar pengalaman dari pelajar-pelajar di Jerman yang bekerja sewaktu musim panas untuk kumpul duit tambahan, di samping biasiswa yang sudah lebih daripada belanja keperluan asas. Ada juga yang bekerja untuk persediaan bina masjid ^-^. Kerja yang biasa adalah bekerja di kilang sama ada Lebensmitteln (makanan) ataupun elektronik, ataupun di gudang logistik seperti Amazon.

Sebelum ni pernah saja teringin nak bekerja, tapi tak pernah senekad sekarang, sebab sentiasa rasa masih cukup biasiswa yang masuk setiap bulan. Sekarang dalam fasa akhir pelajaran, tanpa penerimaan biasiswa, keperluan untuk bekerja jadi keutamaan untuk top up simpanan dan belanja bulanan. Setelah beberapa minggu mencari kerja, akhirnya dapat juga melalui satu agent pekerjaan. Katanya bekerja di bahagian Verpackung (pembungkusan) di sebuah kilang Lebkuchen (gingerbread), snek kegemaran nombor dua saya selepas Spekulatius (spiced cookie).

Hari pertama bekerja, keluar rumah pukul 6. Masuk kerja 6:45 pagi. Balik kerja, kaputt (letih tergolek)! 5 jam berdiri kotakkan Lebkuchen di belt conveyor, rehat 15 minit pukul 9 pagi. Lepas rehat tengahhari cuci mesin sampai waktu balik.

Di kilang tersebut, kebanyakan yang bekerja ialah orang asing. Bahasa jerman mereka pula broken. Tapi sebab mereka adalah majoriti dalam kilang tersebut, 'bahasa rasmi' adalah bahasa mereka. Walaupun status saya sebagai pelajar kejuruteraan dari universiti, di kilang ini sayalah yang paling tidak tahu. Paling tidak tahu cara bekerja, sebab cara belajar di situ adalah lihat, buat kesalahan dan belajar. Tiada yang akan kursuskan kita teknik-teknik macam dalam kelas. Saya juga yang paling kuli, paling boleh diarah apa-apa.

Mandur-mandur juga kebanyakannya orang asing. Arahannya kasar, tugasnya memberi kerja. Bila produksi dah selesai, apa sahaja dijadikan kerja, asalkan pekerja tak peroleh 'gaji goyang kaki'. Sental apa-apa saja, paip-paip, rak-rak, lantai..

Dalam 4 hari bekerja ini, terlalu banyak yang saya belajar. Pengurusan masa, pengurusan rumah tangga dan yang terbesar, menyental ego dan lebih bersangka baik dengan orang lain.

Dengan keluarnya saya 30 minit lebih awal dari Encik Suami ke kerja, saya perlu susun kemas jadual memasak, persediaan bekal-bekal kami, baju-baju dan sebagainya. Mungkin seminggu lagi akan lebih baik keadaannya. Saya terbayang bagaimanalah pula ibu-ibu yang membantu suami bekerja setiap hari, dan menguruskan rumah dan anak-anak. Mak saya tidak bekerja semasa membesarkan kami, tapi sudah sangat keletihan di hujung hari. Apatah lagi ibu-ibu yang bekerja.

Saya belajar di tempat kerja, bahawa pembelajaran di uni dan penglibatan dalam aktiviti pelajar tak cukup untuk bekalkan saya hadapi dunia luar. Selama ini kebanyakan yang saya temui ialah golongan akademik. Dalam bas ulang alik ke uni dan jiran-jiran di hostel pelajar. Bahasanya, topik perbualannya hampir sama. Tapi realitinya, manusia ada pelbagai jenis. Pelbagai latar belakang dan adab pertuturan.

Supaya kerja-kerja berjalan lancar, saya perlu memahami cara kerja mereka. Bukanlah meminta mereka memahami saya. Jika saya ingin menyampaikan sesuatu, saya perlu sampaikan dengan cara yang boleh mereka fahami.

Saya faham saya dibayar untuk menjadi kuli, jadi saya perlu menjadi kuli di tempat kerja tersebut, pada waktu bekerja. Saya terfikir, di sisi manusia, status paling rendah ialah hamba, 24 jam menjadi kuli yang patuh. Tetapi di sisi Allah, hamba adalah status manusia yang tertinggi, paling taat, paling dekat dengan-Nya. Allah gelarkan mereka, Ibadurrahman.

Akhir kata, jadilah pekerja yang jujur, dan jadilah hamba yang benar. =)

Jom pergi kerja!


Liebe Grüße,
Khadijah

No comments:

Post a Comment