15 August 2016

Refleksi Mingguan: Bekerja di Jerman

Assalamu'alaikum wbt.

Selama ni selalu dengar pengalaman dari pelajar-pelajar di Jerman yang bekerja sewaktu musim panas untuk kumpul duit tambahan, di samping biasiswa yang sudah lebih daripada belanja keperluan asas. Ada juga yang bekerja untuk persediaan bina masjid ^-^. Kerja yang biasa adalah bekerja di kilang sama ada Lebensmitteln (makanan) ataupun elektronik, ataupun di gudang logistik seperti Amazon.

Sebelum ni pernah saja teringin nak bekerja, tapi tak pernah senekad sekarang, sebab sentiasa rasa masih cukup biasiswa yang masuk setiap bulan. Sekarang dalam fasa akhir pelajaran, tanpa penerimaan biasiswa, keperluan untuk bekerja jadi keutamaan untuk top up simpanan dan belanja bulanan. Setelah beberapa minggu mencari kerja, akhirnya dapat juga melalui satu agent pekerjaan. Katanya bekerja di bahagian Verpackung (pembungkusan) di sebuah kilang Lebkuchen (gingerbread), snek kegemaran nombor dua saya selepas Spekulatius (spiced cookie).

Hari pertama bekerja, keluar rumah pukul 6. Masuk kerja 6:45 pagi. Balik kerja, kaputt (letih tergolek)! 5 jam berdiri kotakkan Lebkuchen di belt conveyor, rehat 15 minit pukul 9 pagi. Lepas rehat tengahhari cuci mesin sampai waktu balik.

Di kilang tersebut, kebanyakan yang bekerja ialah orang asing. Bahasa jerman mereka pula broken. Tapi sebab mereka adalah majoriti dalam kilang tersebut, 'bahasa rasmi' adalah bahasa mereka. Walaupun status saya sebagai pelajar kejuruteraan dari universiti, di kilang ini sayalah yang paling tidak tahu. Paling tidak tahu cara bekerja, sebab cara belajar di situ adalah lihat, buat kesalahan dan belajar. Tiada yang akan kursuskan kita teknik-teknik macam dalam kelas. Saya juga yang paling kuli, paling boleh diarah apa-apa.

Mandur-mandur juga kebanyakannya orang asing. Arahannya kasar, tugasnya memberi kerja. Bila produksi dah selesai, apa sahaja dijadikan kerja, asalkan pekerja tak peroleh 'gaji goyang kaki'. Sental apa-apa saja, paip-paip, rak-rak, lantai..

Dalam 4 hari bekerja ini, terlalu banyak yang saya belajar. Pengurusan masa, pengurusan rumah tangga dan yang terbesar, menyental ego dan lebih bersangka baik dengan orang lain.

Dengan keluarnya saya 30 minit lebih awal dari Encik Suami ke kerja, saya perlu susun kemas jadual memasak, persediaan bekal-bekal kami, baju-baju dan sebagainya. Mungkin seminggu lagi akan lebih baik keadaannya. Saya terbayang bagaimanalah pula ibu-ibu yang membantu suami bekerja setiap hari, dan menguruskan rumah dan anak-anak. Mak saya tidak bekerja semasa membesarkan kami, tapi sudah sangat keletihan di hujung hari. Apatah lagi ibu-ibu yang bekerja.

Saya belajar di tempat kerja, bahawa pembelajaran di uni dan penglibatan dalam aktiviti pelajar tak cukup untuk bekalkan saya hadapi dunia luar. Selama ini kebanyakan yang saya temui ialah golongan akademik. Dalam bas ulang alik ke uni dan jiran-jiran di hostel pelajar. Bahasanya, topik perbualannya hampir sama. Tapi realitinya, manusia ada pelbagai jenis. Pelbagai latar belakang dan adab pertuturan.

Supaya kerja-kerja berjalan lancar, saya perlu memahami cara kerja mereka. Bukanlah meminta mereka memahami saya. Jika saya ingin menyampaikan sesuatu, saya perlu sampaikan dengan cara yang boleh mereka fahami.

Saya faham saya dibayar untuk menjadi kuli, jadi saya perlu menjadi kuli di tempat kerja tersebut, pada waktu bekerja. Saya terfikir, di sisi manusia, status paling rendah ialah hamba, 24 jam menjadi kuli yang patuh. Tetapi di sisi Allah, hamba adalah status manusia yang tertinggi, paling taat, paling dekat dengan-Nya. Allah gelarkan mereka, Ibadurrahman.

Akhir kata, jadilah pekerja yang jujur, dan jadilah hamba yang benar. =)

Jom pergi kerja!


Liebe Grüße,
Khadijah

14 August 2016

Cabaran 5 Hari: Gratitude Journal

Assalamu'alaikum wbt.

Patutnya naikkan entri semalam, tapi terlalu teruja dengan hujung minggu lepas minggu pertama kerja, tak ada apa pun yang terkarang. -_-"

Pada hari Isnin yang lalu, saya putuskan untuk mulakan dengan tema kesyukuran sebab tagline utama saya, "Syukur itu kata kerja". Kenapa syukur tu kata kerja? Ha.. Dulu-dulu (dan sekarang juga) selalu rasa sangat bertuah ada mak ayah yang menjaga agama anak-anak, tak pernah berkira untuk hal-hal pendidikan, mak yang sangat caring, adik-beradik tak ada gaduh-gaduh.. Bila dah berkahwin pula dapat suami yang bukan saja sebijik yang diimpikan, malah lebih baik. Penyabar yang teramat, ibu ayah mertua yang baik, keluarga tak ada dengki-dengki macam dalam drama melayu. Pernah saya bagitahu kawan, apalah amal saya sampai saya diberi nikmat-nikmat macam ni.

Kawan saya balas, sebenarnya Allah tak kurniakan kita nikmat-nikmat ni sebagai balasan amalan kita. Sebabnya, Allah dah janji akan balas semua tu di akhirat nanti. Jadi kenapa Allah bagi semua ni?

Kalau dalam Spiderman, tagline dia great power comes with great responsibilities. Dalam Surah Quraisy pula, Allah sebutkan nikmat-nikmat yang Allah kurniakan khusus untuk bani Quraisy di Makkah, iaitu sentiasa selamat bila dalam perjalanan untuk berniaga dan tak pernah diorang kelaparan walaupun tak ada pertanian di Makkah yang kering tanahnya. Kemudian Allah minta diorang untuk menghambakan diri kepada Tuhan pemilik Ka'abah. Jadi syukur itu kata kerja maksudnya untuk menjadi orang yang bersyukur, kita kena manfaatkan nikmat-nikmat yang Allah amanahkan kepada kita, untuk menjadi hamba yang sentiasa bermanfaat, untuk diri sendiri, dan orang lain. Sentiasa ada output, sentiasa memberi. Syukur itu tak terhad kepada mengulang lafaz Alhamdulillah sahaja.

Okay, balik kepada topik asal. Saya tetapkan untuk menulis ala-ala gratitude journal. Saya pilih sehari satu tema dan saya senaraikan :

  1. apa yang saya suka tentang perkara tersebut
  2. apa yang saya boleh buat untuk menghargai nikmat tersebut.
Salah satu tema dalam minggu ini adalah rumah saya.
  1. Perkara yang saya suka tentang rumah saya:
    • Encik Suami tinggal sekali (untuk yang PJJ, I feel you sisturs!)
    • walaupun kecil (13 meter quadrat), semuanya bersaiz selesa
    • tak ada bucu-bucu yang buat tersadung 
    • lantai parquet, jadi senang nampak benda-benda yang boleh vacuum
    • Pemandangan dari tingkap menghijau, sejuk je mata memandang
    • tak perlu tirai sebab menghadap pokok-pokok
    • berhampiran dengan masjid Turki, kedai yang ada ayam halal dan stesen kereta api
    • ruang yang ada muat dan selesa untuk solat jemaah berdua
    • senang nak dibersihkan (sebab kecil dan tak banyak perabut)
  2. Perkara yang boleh saya buat untuk mensyukuri nikmat rumah ni:
    • Sentiasa pastikan rumah seboleh mungkin kemas dan bersih sepaya selesa beribadah dan Allah pun sukakan yang cantih dan bersih
    • Tidak membazir dalam perbelanjaan dengan membeli barangan yang tak diperlukan 
"Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram." 
Mural di dinding ruang solat wanita di masjid berdekatan rumah. 


Apa yang saya dapat dalam 5 hari ini?

Saya pilih tema berdasarkan perkara yang saya terdetik untuk merungut. Lepas tu saya fikirkan apa kebaikan yang sebenarnya lebih banyak daripada kekurangan perkara tersebut. Dalam 5 hari ni, saya rasa lebih tenang dan kurang merungut. Setiap kali nak mengomel, rasa tak berbaloi pula. Bahagian yang paling susah tu adalah yang untuk duduk dan menulis, sebab kalau tak menulis waktu sarapan sebelum ke kerja, memang susah dah nak karang balik kemudian. Sibuk nak masak la, nak recap cerita dari jalan pergi kerja sampai turun bas balik dekat Encik Suami la... 

Kesimpulannya, ia adalah salah satu latihan yang baik untuk jadikan kita lebih conscious dengan nikmat yang kita dapat.  Bolehlah nak dicuba dan disesuaikan dengan keselesaan masing-masing.

Rumah-rumah di Fischerviertel, Ulm.  Beberapa minit berjalan kaki dari rumah saya.
Tak dapat tinggal dalam rumah macam ni, berjiran pun dah ok.

Liebe Grüße,
Khadijah

07 August 2016

Mengapa Saya Menulis

Assalamu'alaikum wbt.

Sebenarnya zaman dulu-dulu, sejak habis SPM saya sangat suka menulis blog. Tak ada lah sampai hari-hari, tapi lebih kerap daripada sekarang. Masa tu suka ambil gambar dan berkongsi cerita, apatah lagi sejak beli DSLR second-hand (mungkin third-hand juga). Tapi sejak hilang kamera kesayangan tu di Hamburg sebab balik ke tempat penginapan dalam keadaan sangat mengantuk, semangat menulis blog merudum sehinggalah baru-baru ni. Inche Suami dah lama bagi greenlight untuk gunakan kamera beliau, tapi segan-segan gitu dan rasa tak ada momentum untuk menulis.

Kebelakangan ni saya ada terbaca tentang baiknya merekod fikiran kita dalam proses pembaikan diri. Macam eksperimen, kalau kita tak rekod dari awal, kita tak dapat lihat perubahan (baik atau buruk) yang terhasil. Kenapa tak tulis private sahaja? Sebab mempunyai audien juga boleh boost proses perubahan kita. Akan ada ruang untuk menerima sokongan dan juga kritikan untuk pembaikan.

Perubahan yang konsisten (dan istiqamah) adalah yang berperingkat-peringkat. Saya percaya bahawa untuk mengubah sesuatu keadaan, kita memerlukan perubahan rutin, bukanlah dengan hanya meletakkan sasaran (goal). Sebagai contoh, jika saya ingin menjadi lebih sihat, saya perlukan rutin pemakanan yang lebih sihat atau rutin senaman, bukanlah sekadar meletakkan sasaran.

Dalam halaqah usrah yang saya bawa, saya pernah mengadakan slot Cabaran 5 Hari. Contohnya 5 Hari Bangun Awal, 5 Hari Tanpa Bertangguh (idea adik usrah saya), atau 5 Hari Tafsir Quran. Kiranya, sebelum memulakannya, atau pada hari pertama, kita perlu merancang bagaimana plan untuk 5 hari tersebut. Contohnya hari pertama tak bertangguh kerja-kerja dapur, hari kedua ditambah tak bertangguh untuk meletakkan kembali barangan di tempat asalnya (supaya bilik tak bersepah) dan selanjutnya. Dalam masa 5 hari ini juga, kita boleh memperbaiki plan jika dirasakan tak realistik dan pada hari terakhir kita simpulkan rutin yang terbaik untuk diteruskan, apa kesan pada diri dan apa-apa muhasabah yang diperolehi.

Jadi sebagai permulaan, saya menetapkan untuk diri saya menulis 2 kali seminggu di blog ini. Isnin untuk reflection saya tentang minggu sebelumnya atau apa-apa yang dirasakan menarik untuk dikongsikan dan Sabtu untuk proses dan hasil Cabaran 5 Hari saya.

Saya berharap tulisan saya bukan sahaja menguntungkan saya malah bermanfaat kepada anda juga. Kalau ada teguran atau cadangan janganlah segan-segan.


Landmark di tempat baru saya, Ulm Minster.



Liebe Grüße,
Khadijah